CSR

Penyerahan Pusat Komuniti Islam Bandar Enstek

May 17, 2018
Penyerahan Pusat Komuniti Islam Bandar Enstek
 
Pada 2 Jun 2016, TH Properties Sdn Bhd melancarkan Pusat Komuniti Islam baharu bernilai RM6.47 juta sebagai salah satu sumbangan tanggungjawab sosial korporatnya dalam pembangunan bersepadu Bandar Enstek di Negeri Sembilan. Pembukaan pusat yang bakal memenuhi keperluan kebajikan, pendidikan, keagamaan dan kebudayaan umat Islam dan masyarakat umum di Bandar Enstek ini dimeterai dengan satu majlis penyerahan kunci dan penyerahan pengurusannya kepada Jawatankuasa Kompleks Masjid Bandar Enstek.

Di dalam majlis tersebut, Pengerusi Kumpulan TH Properties, YBhg. Dato’ Azizan bin Abd Rahman menyerahkan kunci Pusat Komuniti Islam kepada YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. YAB Menteri Besar kemudiannya menyerahkan kunci tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Kompleks Masjid Bandar Enstek, YBhg. Dato’ Mohd Bakir bin Haji Mansor.

Pusat Komuniti Islam ini merupakan sebahagian daripada kompleks masjid baharu Bandar Enstek, dan menawarkan pelbagai kemudahan termasuk dewan serbaguna yang boleh memuatkan 400 orang, empat bilik darjah, sebuah bilik guru dan kantin. Dewan serbaguna tersebut juga menempatkan tiga gelanggang badminton.