loader image

Best Facility Management Award (Building Category) 2016

THP SINAR SDN. BHD. MUNCUL JOHAN ANUGERAH PENGURUSAN FASILITI TERBAIK 2016 (KATEGORI BANGUNAN) PERINGKAT KEBANGSAAN ANJURAN JABATAN KERJA RAYA MALAYSIA (JKR)

Ipoh, Perak – THP Sinar Sdn. Bhd., anak syarikat TH Properties Sdn. Bhd., diumumkan sebagai Johan Anugerah Pengurusan Fasiliti Terbaik (Kategori Bangunan) 2016 bersempena Hari Inovasi JKR Malaysia 2016 yang berlangsung hari ini. Anugerah berupa piala dan sijil itu disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YBhg. Dato’ Roszali Othman, Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties. Anugerah Pengurusan Fasiliti Terbaik yang dianjurkan setiap dua tahun oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) ini menilai dan memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat pengurusan fasiliti yang melaksanakan perkhidmatan pengurusan fasiliti bangunan dengan cemerlang dan berkualiti.

Kriteria dan tatacara penilaian yang menyeluruh dan terperinci digunapakai oleh JKR dalam proses menapis pencalonan dan memilih penerima-penerima anugerah tersebut. Antara kriteria yang diambilkira adalah kelayakan dan kompetensi ahli pasukan kontraktor pengurusan fasiliti, kepimpinan kontraktor, infra kelengkapan pejabat dan peralatan kontraktor pengurusan fasiliti dan lain-lain lagi. Di samping itu, penilaian panel Anugerah JKR juga menitikberatkan aspek inovasi di mana usaha dan inisiatif syarikat-syarikat pengurusan fasiliti dalam menggunakan bahan, teknologi atau sistem pengurusan terkini diambilkira. Di antara inovasi yang dilaksanakan oleh THP Sinar termasuklah membangunkan aplikasi Real Time Power Monitoring untuk memantau penggunaan tenaga secara “real time”, penukaran  penapis udara yang membantu menjimatkan penggunaan tenaga dalam penghasilan udara sejuk di dalam sistem penghawa dingin berpusat, serta menggunapakai kaedah “Predictive Maintenance” semasa penaksiran keadaan asset.

Sistem penilaian secara holistik yang diterapkan dalam pemilihan Anugerah JKR ini dilihat dapat menggalakkan persaingan sihat di antara kontraktor pengurusan fasiliti di seluruh Malaysia. Ianya juga dapat mengenalpasti dan mengangkat profil syarikat-syarikat yang berprestasi cemerlang dan menyemarakkan pembudayaan berfikiran kreatif di antara syarikat-syarikat pengurusan fasiliti. Menurut Dato’ Roszali Othman, Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, pengiktirafan dalam bentuk Anugerah JKR yang diberikan kepada THP Sinar ini merupakan pewajaran bagi komitmen dan usaha merealisasikan aspirasi syarikat untuk menjadi salah satu cabang perniagaan berpotensi tinggi  yang dapat menyumbang secara terus kepada ekonomi umat Islam secara amnya dan pendeposit Tabung Haji di Malaysia secara khususnya.

“Ianya juga merupakan sumber inspirasi bagi kakitangan THP Sinar untuk mengorak langkah lebih jauh dan melakar kejayaan yang lebih besar di dalam bidang pengurusan fasiliti ini”, tambah beliau lagi. THP Sinar, yang ditubuhkan pada 15 Mac 2010, berwawasan untuk menjadi pakar dan penggiat utama dalam perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu melalui pendekatan teknik amalan penyelenggaraan yang terkini dan terbaik dengan penarafan kepuasan pelanggan yang cemerlang. Berdaftar dengan kesemua agensi-agensi kerajaan yang berkenaan seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Suruhanjaya Tenaga dan Lembaga Racun Makhluk Perosak, THP Sinar kini menyenggara jumlah kawasan seluas 4.5 juta kaki persegi.

Antara bangunan di bawah senggaraan THP Sinar adalah Parcel C dan Kompleks Pentadbiran Islam di Putrajaya, Menara TH Bangsar, Platinum Park, SME Bank di seluruh Malaysia serta Kompleks-kompleks Haji dan Hotel TH serata negara. Perkhidmatan pengurusan hartanah dan pengurusan fasiliti THP Sinar juga merangkumi kontrak luar negara seperti Unilever House dan No.10, Queen Street Place di United Kingdom melalui THPS-OCS Services Ltd, iaitu syarikat usahasama di antara THP Sinar dengan OCS Group UK Ltd.

How can we help you?

From industrial parks to building dream homes, our prowess in a diverse set of businesses is what truly drives us forward.