PROJEK PEMBANGUNAN BERCAMPUR SECARA USAHASAMA OLEH KUMPULAN TH PROPERTIES DAN PERBADANAN KEMAJUAN EKONOMI NEGERI PERLIS DI KUALA PERLIS DIJANGKA AKAN MEMBANTU MENINGKATKAN EKONOMI DAN PENDAPATAN PENDUDUK SETEMPAT
TH Properties Sdn. Bhd. (THP), anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji, menjangkakan projek pembangunan bercampur yang diusahakannya bersama Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) di Kuala Perlis akan membantu menjana ekonomi daerah tersebut dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Projek yang bernilai RM311.4 juta itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 16.28 ekar di dalam 5 fasa. Pembangunan fasa-fasa yang akan dijalankan selama 7 tahun itu akan melibatkan komponen kedai pejabat, pusat membeli-belah, hotel 3-bintang dan pangsapuri servis.
“Dengan siapnya projek pembangunan bercampur ini, kami menjangkakan ekonomi daerah Kuala Perlis akan dapat dipertingkatkan lagi kerana ianya berupaya menggalakkan aktiviti ekonomi utama dan juga menyokong perkembangan sektor-sektor perusahaan sampingan penduduk setempat,” ujar Dato’ Azizan Abd Rahman, Pengerusi Kumpulan TH Properties di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Bercampur di Kuala Perlis Dengan Usahasama Antara Kumpulan TH Properties dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis hari ini. Majlis Pecah Tanah tersebut telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perlis, YAB Dato’ Seri Azlan Man, disaksikan oleh anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis yang turut hadir.
Berucap di Majlis Pecah Tanah tersebut, Dato’ Azizan berkata projek pembangunan bercampur ini merupakan sebahagian daripada perancangan teliti Kumpulan TH Properties untuk mengembangkan lagi jejaknya di pasaran tempatan seiring dengan perkembangan pesat syarikat di pasaran luar negara.
“TH Properties melihat projek ini sebagai salah satu langkah penting dalam memperkasakan penyertaan dan kredibiliti syarikat ini di dalam pasaran tempatan. Ianya juga merupakan usahasama yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat,” tambah beliau lagi.Kuala Perlis, yang merupakan pintu masuk utama ke Langkawi melalui Terminal Feri Kuala Perlis, mencatatkan kemasukan 2.28 juta penumpang pada 2015 berbanding 1.48 juta orang di Jeti Kuala Kedah. Kedudukan Kuala Perlis sebagai pintu masuk utama ke Langkawi dapat dimanfaatkan melalui projek pembangunan ini dengan menarik pelancong-pelancong transit untuk menggunakan kemudahan komersil baharu yang bakal tersedia seperti hotel and pusat membeli-belah.
Pendekatan yang diambil oleh TH Properties untuk membangunkan projek di Kuala Perlis ini turut mendukung wawasan dan strategi pembangunan Perlis yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi dan perniagaan kawasan-kawasan utama termasuk Terminal Maritim Kuala Perlis.
Peransangan pertumbuhan projek pembangunan bercampur THP-PKENPs ini juga bakal tercetus melalui Pelan Strategik Pembangunan Perlis 2012 – 2030 yang bukan sahaja menyasarkan Kuala Perlis sebagai bandar maritim, malah menggariskan hala tuju strategik dalam memantapkan rangkaian pengangkutan di Perlis dan inisiatif-inisiatif perikanan Kuala Perlis. Pelaksanaan projek-projek perdana ini berupaya meransang limpahan pembangunan baharu di Kuala Perlis dan meningkatkan potensi daerah tersebut sebagai pusat pelancongan berdaya saing.
Kedudukan Kuala Perlis yang strategik dan komitmen yang dipamerkan oleh kerajaan negeri dalam membangunkan daerah ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada 19,500 penduduk yang dianggarkan bakal mendiami Kuala Perlis menjelang tahun 2020, malah mampu menarik pelaburan besar, membawa pembaharuan kepada sektor tradisional seperti perikanan dan pertanian dan mengangkat taraf daerah ini sebagai pusat pelancongan dan perniagaan yang kompetitif di masa akan datang.
Disediakan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
TH Properties Sdn. Bhd.
6 Februari 2017