BANDARAYA MELAKA 30 Oktober – Melaka diiktiraf sebagai negeri terbaik di Malaysia yang melaksana inisiatif pembangunan industri halal, sekali gus melayakkan negeri Hang Tuah menerima anugerah ‘Halal State Performance Excellence Award’ pada majlis World Halal Excellence Awards 2023 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Anugerah tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ab Rauf menyifatkan penganjuran majlis anugerah tersebut sebagai berprestij dan bertaraf antarabangsa, sekali gus memberi suntikan semangat kepada para pemain industri halal untuk mengembangkan lagi peluang perniagaan halal ke seluruh dunia.
“Sebentar tadi kita saksikan semua industri yang ada hubung kait dengan halal telah diberikan pengiktirafan oleh Halal Development Corporation dan memberikan satu suntikan kepada semua syarikat yang beroperasi bukan sahaja di Melaka tetapi seluruh Malaysia yang berlandaskan persijilan halal.
“Produk halal telah dipasarkan kepada lebih 1 bilion masyarakat Islam seluruh dunia, setiap syarikat memerlukan persijilan halal bagi memberi keyakinan kepada masyarakat Islam bahawa produk yang dijual adalah halal dan mengikut syariah,” katanya kepada pemberita selepas selesai majlis tersebut.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Pengerusi Halal Development Corporation, Khairul Azwan Harun.
Sementara itu, Tengku Zafrul memuji Kerajaan Negeri Melaka kerana menunjukkan prestasi yang baik daripada segi pembangunan industri halal.
“Negeri Melaka banyak menunjukkan prestasi yang baik daripada segi industri halal, malah kebanyakan anugerah sebentar tadi dimenangi oleh syarikat yang bertapak di Melaka.
“Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Ketua Menteri Melaka kerana sememangnya industri halal kini sedang berkembang pesat dan saya yakin, sasaran pasaran produk serta perkhidmatan halal dijangka bernilai USD5 trilion pada 2030 boleh jadi kenyataan,” katanya.
Dalam majlis tersebut, sebanyak 30 syarikat termasuk individu perseorangan telah menerima pelbagai jenis anugerah melibatkan halal dan turut menyaksikan anugerah ‘Halal Leadership Excellence Award’ diterima oleh Penyelaras Hal Ehwal Halal, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff.
Source: Melaka Hari Ini