
Kuala Lumpur: Bagi merapatkan jurang pemilikan rumah membabitkan graduan baharu, pembeli rumah muda dan pelabur hartanah, TH Properties mengumumkan kerjasama strategik bersama Affin Bank Berhad (Affin Bank) dengan menawarkan penyelesaian kewangan kepada mereka.
Pengarah Eksekutif, Perbankan Komuniti Kumpulan Affin Bank, Mohammad Fairuz Mohd Radi berkata, produk yang ditawarkan oleh mereka menyasarkan kepada segmen berkenaan.
Katanya, menerusi kerjasama ini juga, pihaknya turut memberi perhatian kepada pembeli rumah wanita yang sesuai dengan produk ditawarkan oleh TH Properties.
“Dengan penyelesaian pembiayaan inovatif seperti AFFIN Home Step Fast/-i dan Affinita Home Financing Program, kami berhasrat menyediakan pilihan fleksibel dan sesuai untuk golongan profesional muda, pelabur hartanah dan pelbagai pembeli rumah.
“Kami juga percaya setiap wanita harus mempunyai peluang untuk membina asas untuk diri dan keluarganya melalui pemilikan rumah.
“Affinita Home Financing Program bukan sahaja mengenai menawarkan sokongan kewangan, ia juga memupuk kebebasan, kestabilan dan pemerkasaan wanita,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian itu di Kota Semarak Galleria-Padang Residences di sini, semalam.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Mohammad Fairuz yang mewakili Affin Bank, manakala TH Properties diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd Ismadi Ishak.
Menerusi kerjasama strategik ini, TH Properties dan Affin Bank menawarkan pelbagai penyelesaian pembiayaan fleksibel disesuaikan untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen pembeli termasuk yang mempunyai aliran pendapatan tidak tetap.
Antaranya ialah Affin Home Step Fast/-i, yang direka khas untuk graduan baharu, pembeli rumah kali pertama, pembeli muda dan pelabur hartanah.
Penyelesaian pembiayaan patuh syariah ini menampilkan struktur kewangan fleksibel dan kompetitif, membolehkan pembeli rumah memiliki kediaman impian mereka dengan kos permulaan yang rendah dan bayaran bulanan mampu milik.
Satu lagi program di bawah perjanjian ini ialah Affinita Home Financing Program, khusus kepada wanita untuk memiliki rumah.
Ciri istimewa program ini ialah ia memperkasakan pembeli rumah wanita dengan menawarkan pembiayaan melebihi RM500,000 melalui AFFIN INVIKTA™️ Premier Banking dengan diskaun eksklusif dan faedah daripada hampir 100 peniaga termasuk spa, tempat makan dan butik.
Selain itu, kerjasama ini pada peringkat awal ini juga merangkumi hartanah dalam projek utama TH Properties, termasuk Kota Semarak dan akan diperluaskan ke dua projek pembangunan lain iaitu Bandar Enstek dan Warisan Puteri 2.
Dalam pada itu, Mohd Ismadi berpandangan, kerjasama ini sangat penting kepada TH Properties kerana pihaknya mempunyai pelbagai jenis pembangunan perumahan dari Kota Semarak hingga ke Bandar Enstek.
“Pakej pembiayaan yang ditawarkan oleh Affin Bank ini pada dasarnya sesuai dengan pasaran sasaran untuk Kota Semarak dan Bandar Enstek. Oleh itu, kerjasama ini sangat penting untuk meningkatkan daya tarikan jualan kami,” katanya.
Beliau turut menyatakan, pembangunan perumahan di Kota Semarak memberi tumpuan kepada profesional muda.
“Walaupun ia berkonsepkan kediaman, kami masih mengekalkan elemen bandar kerana lokasinya yang dekat dengan pusat bandar.
“Oleh itu, kami percaya bahawa produk, lokasi dan penawaran melalui kerjasama strategik dengan Affin Bank ini sangat sesuai dengan pasaran sasaran kami,” katanya.
Source : Harian Metro